Bahu kaku banyak serang wanita

 

PROSEDUR 'Manipulation Under Anesthesia' (MUA).

RASA lenguh dan sengal badan adalah antara situasi yang kerap dialami.
APABILA usia mencecah 40 tahun dan ke atas, tahap kesihatan setiap individu itu akan mula merosot. Rasa lenguh dan sengal badan adalah antara situasi yang kerap dialami.
Antara bahagian badan yang sering mengalami kesakitan adalah lutut dan bahu.
Bagi Norrihan Sulan, 52, beliau mula rasa sakit pada bahagian bahu sejak enam bulan lalu.
Beliau tidak mengendahkan kesakitan itu kerana menyangka hanya sengal badan yang biasa dialami mereka yang sudah berusia.
Bagi mengurangkan rasa sakit, katanya dia hanya menggunakan khidmat tukang urut selain mengambil ubat penahan sakit.
"Rasa sakit pada bahagian bahu berkurangan selepas diurut dan tidak lama selepas itu kembali sakit.
"Sakitnya tidak boleh digambarkan. Sampai satu tahap, dari paras lengan ke bahu akan merasa sakit apabila saya hendak mengambil sesuatu di tempat tinggi.
"Contohnya, hendak ambil baju dalam almari pun tidak boleh. Keadaan lebih teruk apabila saja tidak boleh mandikan cucu kerana tangan tidak kuat mendukungnya," katanya kepada BH, baru-baru ini.
RAWATAN fisioterapi. Gambar hiasan
Jalani fisioterapi
Beliau yang berkhidmat sebagai Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), juga menghadapi kesulitan untuk mengajar kerana memerlukan pergerakan yang banyak.
"Saya mula berjumpa doktor di klinik dan rawatan awal yang diberikan hanyalah mengambil pil penahan sakit dan vitamin saraf.
"Namun, suami dan anak-anak menggesa mendapatkan rawatan pakar kerana ubat yang diambil tidak mampu menghilangkan sakit.
"Selepas beberapa bulan menanggung kesakitan hingga ke tahap tangan tidak boleh diangkat, saya berjumpa pakar.
"Saya diminta menjalani fisioterapi dan prosedur Pengimejan Resonans Magnet (MRI) untuk mengesan punca kesakitan.
"Hasil MRI mendapati ada beberapa kawasan pada tulang tengkuk bermasalah kerana sudah terkeluar dari postur," katanya.
Bahu sukar digerakkan
Pakar mengklasifikasikan kesakitan bahu itu sebagai bahu kaku (Frozen Shoulder). Serangan itu juga dipanggil 'adhesive capsulitis'.
Serangan menyebabkan kesakitan dan kekakuan pada bahagian bahu. Bahu sukar digerakkan, selalunya terjadi kepada individu berumur antara 40 tahun hingga 60 tahun. Lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki.
Norrihan ditahan di wad selama seminggu bagi memudahkan pakar menjalani prosedur pemantauan. Pakar perubatan memutuskan beliau menjalankan prosedur 'Manipulation Under Anesthesia' (MUA).
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, prosedur MUA dijalankan dengan membius penuh pesakit.
Ketika itu pakar akan menjalankan terapi rawatan manual bertujuan meningkatkan pergerakan artikular dan tisu lembut.
Prosedur itu kata beliau, mengambil masa sekitar 30 minit dan apabila sedar daripada kesan bius, beliau sangat sakit pada bahagian yang dirawat.
Bunyi tulang berlaga
"Doktor memberitahu bahawa ketika dia memusingkan tangan saya, mereka boleh mendengar bunyi tulang berlaga dengan jelas," ujarnya.
Kini, sudah hampir sebulan menjalani prosedur MUA dan kesakitan yang dialami berkurangan.
"Saya perlu menjalani sesi fisioterapi tiga kali seminggu dan setiap sesi berlangsung selama 45 minit," katanya.
Beliau menasihatkan individu yang sering mengalami sakit bahu supaya segera berjumpa doktor.
"Cari rawatan yang betul dan jangan hanya bergantung kepada tukang urut," katanya.
Punca bahu kaku
*Kesakitan disebabkan oleh penyakit lain seperti diabetis
*Pernah mengalami kecederaan pada bahagian sekitar bahu
*Sering membawa beban berat
*Tekanan juga menjadi punca berlaku bahu kaku
*Banyak melakukan kerja terutama aktiviti memutar lengan

Comments

Popular posts from this blog

Datuk Seri Vida didenda RM4,800

Lelaki Jepun hidup tanpa membelanjakan wang selama 36 tahun, hanya guna baucar