Perata pisang sejuk beku pertama di Malaysia
SINGAPURA: Syarikat menjual produk sejuk beku bumiputera, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd buat julung kalinya bakal memperkenalkan perata pisang pertama di Malaysia menjelang hujung tahun ini.
Apa yang menarik, dengan menggunakan sendiri teknologi dan inovasi ciptaan sendiri, produk perata pisang sejuk beku itu mampu bertahan selama dua tahun tanpa menggunakan perasa tambahan atau bahan pengawet.
Pengarah Urusannya, Fatihah Anis Ibrahim, berkata menerusi bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari aspek pemasaran, produk itu akan diperkenalkan khusus untuk pasaran eksport.
Katanya, syarikatnya juga mendapatkan bekalan pisang berkualiti dari Sabah yang juga turut dibantu oleh FAMA.
"Selepas 10 tahun bersama FAMA, perata pisang adalah inovasi terkini yang dalam proses mendapat kelulusan geran daripada bahagian Pasaran Antarabangsa FAMA diketuai Pengarah Kanannya, Datuk Nazipah Jamaludin yang banyak membantu saya.
"Jadi hari ini saya mahu umumkan menjelang hujung tahun ini produk ini akan diperkenalkan dan untuk permulaan ia khas untuk pasaran eksport ke beberapa negara luar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui BH di Malaysia Fest di Dewan Singapore Expore di sini yang berlangsung selama empst hari bermula hari ini.
Malaysia Fest dirasmikan Ahli Parlimen Chua Chu Kang, Zaqy Mohamad.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Abd Shukur Idrus.
Sementara itu, Nazipah berkata, Malaysia Fest 2017 mencatat kelainan tersendiri apabila mengetengahkan 55 usahawan membabitkan hampir 200 produk, berbanding 30 usahawan dan 80 produk dipamerkan tahun lalu.
"Kita juga menyasarkan jualan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kali ini sebanyak RM2 juta berbanding RM600,000 pada tahun lalu," katanya.
SUMBER
Comments
Post a Comment